Amalan baik tidak
patut ditangguh
SUATU peristiwa yang paling pasti di dalam kehidupan
ialah maut kita sendiri. Walaupun ia pasti berlaku, kita tidak tahu bila ia akan tiba. Oleh yang demikian, kita harus benar-benar insaf bahawa kita boleh meninggal dunia pada bila-bila masa saja.
Apabila kita sudah meninggal dunia, maka kesempatan kita untuk sujud kepada kebesaran Allah dan berusaha mengikuti ajarannya sudah tidak ada lagi. Jika kita tidak berhati-hati, kesibukan serta tipu daya dunia boleh membuat kita lupa akan pertemuan di akhirat nanti.
Tambahan pula, apabila agama telah menjadi satu ikutan warisan atau budaya semata-mata dan tidak lagi sebagai satu tanggungjawab peribadi, maka kita sudah meletakkan agama pada tahap yang kurang utama dalam kehidupan kita.
Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan gurauan sedang mereka telah terpedaya dengan kehidupan di dunia. Maka pada hari ini kami lupakan mereka, sebagaimana mereka telah melupakan pertemuan hari ini dan kerana mereka menyangkal ayat-ayat Kami.” – (Surah Al-A’raaf ayat 51)
Setiap daripada kita mempunyai pilihan untuk memilih sama ada hendak hidup sebagai seorang yang percaya kepada Tuhan atau sebagai seorang yang tidak percaya atau pura-pura percaya kepada-Nya.
Sekiranya kita benar-benar percaya kepada kewujudan Tuhan, maka kita akan berusaha melentur kehidupan kita supaya bersesuaian dengan ajaran-Nya. Kita akan yakin benar bahawa dengan mengikuti petunjuk-Nya, hidup kita akan berjaya di dunia dan akhirat.
Post a Comment